Thursday, February 12, 2009

WAJIB BERDAKWAH WALAUPUN DIRI BELUM SEMPURNA - SR 2

Hati yang tidak membenci kemungkaran akan binasa. Sahabat nabi bernama Abdullah ibn Masâud pernah menegaskan: Binasalah mereka yang tidak dapat membezakan yang makruf dan yang mungkar dengan hatinya.

Secara dasar, pengabaian dalam melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar mengundang azab dan seksaan daripada Allah. Berhubung dengan ini, dalam surah al-Anfal ayat 25 Allah berfirman:

Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa ke atas mereka yang zalim dan kalangan kamu sahaja. Dan ketahuilah Allah maha keras seksaannya.

Ayat ini menjelaskan, apabila azab menimpa disebabkan kemungkaran yang berleluasa, ia tidak hanya menimpa ke atas mereka yang melakukan maksiat, ia juga menimpa ke atas mereka yang salih yang mengabaikan dakwah.

Ayat ini disokong oleh beberapa hadis nabi yang antaranya diriwayatkan oleh imam Muslim yang bermaksud:

Zainab binti Jahsy bertanya kepada nabi, ˜adakah kita akan dimusnahkan sedangkan golongan yang soleh masih ada di kalangan kita? Nabi menjawab,˜ya, apabila kekejian berleluasa.”

Dalam riwayat lain oleh Imam Tarmizi, nabi bersabda:

Apabila manusia melihat kezaliman dilakukan oleh seorang yang zalim dan mereka tidak mencegahnya, tidak berapa lama lagi azab daripada Allah akan menimpa ke atas mereka semua.

Imam Bukhari pula meriwayatkan sabda nabi yang bermaksud:

Perumpamaan mereka yang memelihara batas-batas agama Allah dengan golongan yang melanggarnya adalah seperti sebuah kapal yang dipenuhi penumpang pada bahagian atas dan bawahnya. Golongan yang berada pada bahagian bawah, apabila ingin mengambil air terpaksa menaiki bahagian atas kapal bagi mendapatkannya. Akhirnya penumpang pada bahagian bawah berkata, ˜alangkah baiknya jika kita tebuk saja lantai kapal ini untuk mendapatkan air dan dengan cara demikian kita tidak lagi menyusahkan rakan-rakan kita pada bahagian atas. Jika penumpang-penumpang pada bahagian atas tidak mencegah perbuatan akan-rakan mereka di bawah, mereka semua akan tenggelam. Jika mereka mencegah, kesemua mereka akan selamat.

Persiapan Pendakwah Ilmu adalah asas bagi segala kebaikan. Ilmu-ilmu teras fardu ain wajib pelajari oleh setiap individu yang hendak berdakwah dan ilmu ini perlu diperkukuhkan dengan ilmu-ilmu kontemporari yang selari dengan ajaran Islam. Penguasaan ilmu memerlukan pengorbanan serta keazaman yang tinggi dan untuk
itu kerja-kerja tidak berfaedah perlu ditinggalkan. Di dalam surah al-Mukminun ayat 3 Allah berfinnan:

Antara sifat-sifat mukmin yang berjaya adalah mereka menjauhi perbuatan dan perkataan yang lagha.

Istilah lagha mempunyai maksud tertentu. Imam Ibn Kathir mentafsirkannya sebagai, segala perbuatan batil termasuk yang mempunyai unsur-unsur syirik, perbuatan maksiat, serta segala perkara yang tidak berfaedah sama ada dalam bentuk perkataan ataupun perbuatan.

Membuang masa pada perkara tidak berfaedah menjadi salah satu punca kejatuhan umat Islam sebelum ini. Hal ini disebut oleh as-Syeikh Hasan an-Nadwi di dalam bukunya Kerugian Dunia Kerana Kemunduran Umat Islam. Beliau berkata: Tetapi sayang sekali, kaum Muslimin tidak mensyukuri nikmat Allah. Selama berabad-abad lamanya umat Islam membuangkan waktu dan tenaga untuk berfikir dan berfalsafah berhubung perkara yang tidak bermanfaat. Andai kata mereka memfokuskan kepada ilmu yang menguntungkan Islam dan kaum Muslimin, kedudukan mereka tidak akan menjadi separah ini. Umat Islam bukan saja asyik membahaskan tentang sifat-sifat Allah, mereka juga asyik berbicara tentang roh, falsafah wihdatul wujud dan sebagainya. Semua ini memakan masa dan tenaga yang bukan sedikit... Hasil penemuan kaum Muslimin sama ada dari sudut kuantiti ataupun kualitinya tidak mendatangkan apa-apa makna apabila dibandingkan dengan penemuan Barat pada abad ketujuh belas dan kelapan belas Masihi. Apabila umat menyibukkan diri dengan perkara yang tidak berfaedah, kewajipan penting terabai dan keutamaan terbabas. Hasilnya adalah kejahilan dan kemunduran. Justeru, sudah sampai masanya bagi umat Islam memfokuskan pada ilmu-ilmu penting demi masa depan umat yang gilang-gemilang.

Di dalam al-Quran terdapat beberapa gelaran yang diberikan Allah kepada golongan berilmu sebagai lambang kemuliaan. Antara gelaran itu adalah rabbani. Berhubung dengan ini, Allah berfirman dalam surah ali-Imran
ayat 79:

Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya al-Kitab, hikmat dan kenabian, lalu dia berkata kepada manusia:˜Hendaklah kamu menjadi penyembah-penyembahku bukan menyembah Allah. Akan tetapi (dia
berkata): ˜Hendaklah kamu menjadi golongan rabbani kerana kamu selalu mengajar al-Kitab dan disebabkan kamu terus mempelajarinya.

Berhubung dengan ayat ini, Said Hawa dalam al-Asas fit Tafsir berkata: Ayat ini merupakan dalil bahawa golongan rabbani adalah golongan yang amat mentaati Allah dengan cara menguasai ilmu dan menyebarkannya. Cukuplah dalil ini sebagai bukti kehebatan mereka yang mampu mengekang nafsunya bagi menguasai ilmu kemudian disusuli dengan amal.

Ilmu yang dituntut dalam Islam terbahagi kepada dua bahagian iaitu fardu ain dan fardu kifayah. Di dalam kitab lhya Ulumuddin, Imam al-Ghazali mendefinisikan ilmu fardu ain sebagai ilmu yang wajib dituntut oleh setiap hamba Allah yang berakal lagi baligh tanpa pengecualian. Ilmu fardu ain yang wajib dituntut adalah yang berkaitan dengan akidah atau tauhid bertujuan memantapkan iman, tasawuf bagi membersihkan hati serta akhlak dan fikah bagi mengetahui perkara yang diwajibkan dan diharamkan. Ilmu fardu kifayah adalah Ilmu yang wajib dikuasai umat Islam dalam bidang-bidang yang amat diperlukan masyarakat. Namun, tidak semua individu Muslim dan Muslimah perlu menceburi dalam bidang-bidang ini apabila sebahagian daripada umat Islam sudah menguasainya, masyarakat secara amnya terlepas daripada dosa dan bebanan.

..............
sumber : abuhandzalah weblog

No comments: