Thursday, March 4, 2010

Ketua Perompak Yang Bertawaf

...Diriwayatkan oleh Asy-Syibli: Dahulu saat kami bergabung dengan rombongan orang-orang Syam, tiada terfikir olehku bahawa kami akan diserang oleh sekumpulan orang-orang Badwi, dan membawa kami menghadap kepada ketua mereka.

Pemimpin mereka itu lalu mengeluarkan sebuah geriba yang mengandungi gula tebu dan buah badam. Disantaplah jamuan itu oleh orang-orang Badwi yang merupakan anak buah dan pengikutnya, namun demikian pemimpin mereka justeru tidak ikut makan bersama mereka walaupun sedikit.

Melihat keanehan itu, aku pun bertanya, “Mengapa tuan tidak ikut makan beserta mereka?”

“Aku sedang berpuasa,” jawabnya.

“Bagaimana mungkin, bukankah tuan telah melakukan pelbagai perbuatan jenayah seperti merompak, merampas harta-benda orang dan melakukan pembunuhan, tetapi mengapa masih tetap berpuasa seperti sekarang ini?” tanyaku kepadanya dengan penuh hairan.

“Wahai syeikh, jadikanlah suatu tempat bagi perdamaian,” serunya kepadaku.

Selang beberapa waktu lamanya, kulihat dia sedang melakukan tawaf di sekeliling Kaabah dengan mengenakan pakaian ihram yang kasar bagaikan sebuah kulit keras lagi buruk. Melihat itu, aku lalu bertanya, “Engkaukah lelaki pemimpin kaum Badwi itu?”

“Benar, puasa itulah yang telah menghantarkanku sampai pada tingkatan seperti ini,” jawabnya.